Friday, May 20, 2011

Bagaimana dengan DIA??

Lumrah bagi kita seorang manusia biasa melebihkan sesuatu di antara sesuatu yang lain.  Contohnya, seorang lelaki yang melebihkan isterinya, seorang wanita yang melebihkan sahabatnya juga seperti seorang kekasih melebihi kekasihnya lebih daripada perkara lain.  Namun, dimanakah kita ingin meletakkan DIA yang sentiasa setia dengan kita selama ini? Bagaimana dengan DIA? Saya sendiri tidak terkecuali daripada fitrah manusia ini. 

DIA mengasihi saya sejak saya masih belum bernyawa, malah terus mengasihi sehingga nyawa saya dicabut semula. Malah beterusan sehingga dimasuk dan dicabut untuk kali kedua. DIA Al-Rahman, Al-Rahim.
DIA yang ternyata lebih dekat kepada saya berbanding urat tengkuk saya. Sentiasa bersama saya samada ketika saya tidur mahupun jaga.
DIA juga yang menyembuhkan saya ketika saya sakit. Memberi saya makan sewaktu saya lapar. Memberi saya minum ketika saya dahaga.
DIA yang tidak penah lekang perhatiannya kepada saya, malah mengirimkan pula malaikatnya untuk menjaga saya setiap masa.
DIA yang telah menunaikan segala permintaan saya dan sentiasa rindu untuk mendengar rintihan dan cerita saya, terutama di sepertiga malam.
DIA yang telah memberikan saya makan, minum, pakai, sihat dan rezeki. DIA tidak pernah meminta saya membalas segala pemberianNya yang tidak ternilai harganya. Sebiji mata saya tidak akan terbayar dengan emas seisi dunia.
Dan saya, tidak pernah merinduiNya. Tidak pula pernah mengasihiNya. Waktu temujanji kami lima kali setiap hari selalu saya mungkiri. Kami hanya bertemu pada hujung waktu. Tapi, DIA tetap mengasihi saya.
Saya selalu melakukan kesilapan dan dosa terhadap DIA. Malah, jarang pula sedar akan kesilapan saya dan kalau tersedar, jarang pula untuk saya meminta maaf dan ampun. Kalaupun ada saya meminta ampun dan maaf, air mata saya tidak mengalir.
"Ya Allah, sesungguhnya aku amat berdosa padaMU. Namun kesudianMu untuk mengampuniku tidak pernah padam. Aku ingin kembali kepadaMu dengan hati suci, sepersia hati Ibrahim."



No comments: